Peliknya ada orang tak suka tetamu
ikhsan cik google
KUNJUNG berkunjung akan merapatkan silaturrahim. Ia melatih kita menjadi lebih tertib kerana akhlak atau adap ketika berkunjung perlu dipelihara. Begitu juga dengan bertanya khabar dapat memperkukuhkan ikatan persaudaraan serta saling membantu kepada yang memerlukan mengikut kemampuan dan keikhlasan kita.
Namun ada juga manusia yang tidak suka menerima tetamu dengan alasan masa tidak sesuai dan sebab-sebab lain.
Pelikan? Adakah ini juga satu penyakit dalam masyarakat kita?
Ini masalah yang dilalui oleh Ima (bukan nama sebenar) mengenai salah seorang keluarganya yang berperangai seperti ini. Dia tidak mahu saudara mara atau kawan-kawan datang ke rumahnya tetapi jika ke rumah orang, bila-bila masa mereka akan sampai.
Kita ikuti kisah yang ingin dikongsi oleh Ima.
"Saya mempunyai seorang ipar yang tinggal di kampung. Namanya biar saya sebut sebagai Nani (bukan nama sebenar). Nani telah berkahwin dan mempunyai empat orang anak yang rapat dengan anak-anak saya terutama melalui alam maya.
"Cuti persekolahan adalah waktu yang paling sesuai untuk saya mendekatkan anak-anak dengan sepupu mereka serta suasana kampung selain mengunjungi datuk nenek yang selalu rindukan cucu-cucu mereka. Sayangnya apa yang saya dan keluarga harapkan tidak menjadi.
"Semuanya bermula apabila saya pulang ke kampung baru-baru ini bersama anak-anak untuk menghabiskan cuti sekolah.
"Ibu bapa menyambut kepulangan saya dengan gembira terutama apabila melihat cucu-cucunya mereka yang sangat gembira dapat balik kampung.
"Anak-anak tersangat teruja ingin bertemu dengan sepupu-sepupu atau saudara mara yang selama ini hanya berhubung melalui alam maya sahaja.
"Kami tidak menginap di hotel kerana ingin merasai suasana di kampung bersama saudara mara.
"Selepas menikmati hidangan kampung yang lazat anak-anak saya terus bertanyakan khabar saudara mara dan kawan-kawan mereka. Keesokan harinya temujanji diatur bersama salah seorang saudara terdekat untuk bertandang ke rumah saudara mara bertanya khabar.
"Salah sebuah rumah adalah rumah ipar saya bernama Nani. Apabila saya maklumkan kedatangan kami, nak tahu apa jawabnya? Maaflah, rumah kami tidak ada parkir. Jangan datang.
"Sakit telinga saya mendengar jawapan itu. Apa dia ingat kami bawa bas atau kapalterbang sampai tak ada tempat hendak parkir. Tujuan saya untuk berkunjung dan bertanya khabar, bukan untuk bermalam.
"Parkir kereta bukan alasan yang munasabah kerana mereka tinggal di kawasan perumahan di mana-mana boleh letak.
"Kesian anak-anak saya kerana hajat untuk ke rumah sepupu mereka tidak kesampaian. Mahu tidak mahu saya terpaksa menjemput anak-anak saudara saya itu untuk berjumpa dengan anak-anak saya.
"Saya pelik dengan perangai ipar saya itu. Kenapa dia jadi macam itu, hina sangatkah kami sampai tidak mahu kami jejak kaki ke rumahnya?
"Nasihat saya, belajarlah menggunakan perkataan atau bahasa yang sesuai dan menghormati tetamu walaupun saudara sendiri. Ini yang selalu kita alpa sehingga menimbulkan salah faham dan konflik dalam keluarga atau sesama kita.
"Saya ingin menyedarkan dia tentang semasa dia susah, siapa yang datang membantu? Kesempitan hidup dan kesibukan yang melampau bukan alasan untuk tidak menerima tetamu kerana tetamu yang berkunjung membawa berkat.
"Saya tidak bermaksud mahu mengungkit, tetapi sekadar mahu menyedarkan empunya diri. Usah terbabas dan lupa diri dan jauhi diri dari sifat sombong atau angkuh yang umpama racun berbisa, boleh membunuh hubungan silaturrahim.
"Jangan salahkan sesiapa sekiranya anda tidak dikunjungi bila keadaan memerlukan!
"Kita perlu ingat, hidup ini saling perlu memerlukan antara satu sama lain, baik kawan, jiran atau saudara mara.
"Kejadian yang menimpa saya anak beranak saya diamkan sahaja sebab tidak mahu kecoh-kecoh. Kepada anak-anak saya pesan jangan bagi tahu sesiapa.
"Tidak saya sangka akhirnya apa yang saya lalui dihidu oleh emak dan ayah saya. Rupanya mereka juga mengalami nasib yang sama.
"Malah sebagai ibu bapa mereka langsung tidak pernah dipelawa datang atau bermalam di rumah anak sendiri. Kenapa boleh jadi begitu?
"Malah jika ibu dan bapa saya terlalu rindukan anak dan menantu serta cucu-cucunya, Nani dan suami akan membawa anak-anak mereka ke rumah datuk dan nenek mereka. Pelikan? Anak jenis apa ini yang tidak tahu menghargai ibu bapa dan saudara mara?
"Sukar untuk kita percaya kisah ini tetapi itulah dunia, rupanya ada ada manusia yang tidak suka menerima tetamu walaupun darah daging sendiri!
"Saya sedih mengenangkan sikap Nani yang keterlaluan. Sayang sekali dia tidak mempunyai ilmu tentang layanan yang sepatutnya diberikan kepada tetamu dan ganjaran dari Yang Maha Esa.
"Senario sebegini boleh memusnahkan masa depan hubungan kekeluargaan dan menghalang proses perkembangan mengikut acuan yang sepatutnya.
"Saya berharap Nani akan sedar kesilapannya dan kembali ke pangkal jalan. Masih belum terlambat buat dia bertaubat dengan sikapnya itu.
"Ingatlah, semasa anda sihat semuanya sempurna tetapi apabila sudah kurang upaya, siapa yang perlu anda cari. Kawan, sahabat, jiran atau saudara? Fikir-fikirkanlah!," kata Ima menutup cerita.
Kisah Ima antara kisah baru yang turut dikirimkan kepada saya. Seingat saya kisah seperti ini hanya berlaku kepada orang kaya yang mementingkan kedudukan dan pangkat.
Tetapi rupanya ada juga orang yang berbuat perangai buruk seperti itu kepada saudara mara dan ibu bapa.
Saya berharap ia tidak menjadi penyakit dalam masyarakat kita hari ini. Kepada Nani muhasabah diri, ingatlah akar umbi dan berpijaklah di bumi nyata.
Allah amat suka kepada orang yang menghormati tetamu kerana ia merapatkan hubungan sesama Islam di samping memperoleh pahala yang besar ganjarannya.
Sayangnya saya tidak boleh mengulas panjang kerana tidak tahu apa punca Nani bertindak demikian kerana ia tidak pula dijelaskan oleh Ima.
Apa pun pesanan saya, siapa pun kita, di mana juga kita berpijak, ingatlah, air dicincang tidak akan putus. Salam.
kredit sumber dari utusan malaysia..