*

Sunday, 3 May 2009

Menambat Hati Suami

Menambat hati lelaki...
Thursday, April 30, 2009 by Tirana ·
Labels: Relationship
Bagaimana anda menambat hati lelaki, terutama kekasih atau suami sendiri? Manusia memang tidak mampu meneroka hati dan jiwa manusia. Namun anda boleh belajar mengenal mereka supaya kebahagian dapat dinikmati bersama. Apa sebenarnya yang harus anda lakukan untuk menambat hati lelaki? Ambil sedikit masa dan fikirkan.


Terima lelaki agar dia menerima anda
Mungkin tiada perkataan yang lebih sesuai untuk menyatakan ini selain "Terimalah lelaki sebagai sediakala". Terimalah dia sebagai lelaki. Yang penting untuk anda tahu ialah mengenai lelaki, dan bukan mengubah lelaki. Jika anda mahu mengubah personaliti lelaki yang menjadi kekasih atau suami anda, dia mungkin akan menjadi insan lain, yang mungkin tidak anda sukai dan tidak menyukai anda.


Fahamilah lelaki agar dia memahami anda
Cuba memahami perangai sedia ada pada seorang lelaki dan menyesuaikan perangai itu dengan diri anda. Ianya adalah lebih baik dari cuba mengubahnya dan beranggapan bahawa ianya tidak sesuai dengan anda. Asalkan perangai itu tidak bertentangan dengan kehendak agama dan kesopanan budaya. Dengan cara itu lelaki akan cuba memahami anda dan menyesuaikan dirinya dengan diri anda.


Berubah untuk menikmati perubahan
Sekiranya anda mahu mengubah perangai lelaki, malah perangai sesiapa pun, anda tidak akan mampu berbuat demikian kerana insan itu sendirilah yang akan mengubah perangainya jika dia mahu. Anda cuma boleh memujuk dan mempengaruhinya agar berpihak kepada anda. Anda sendiri perlulah sanggup berubah kepada perangai yang lebih baik untuk membolehkan seseorang lelaki berubah memperbaiki dirinya.


Sanggup memberi untuk menerima
Di atas segala-galanya, apa yang penting untuk anda lakukan ialah sanggup memberi lebih bayak berbanding apa yang anda terima daripada lelaki. Dengan itu, anda mungkin akan menerima lebih banyak daripada yang sanggup anda beri. Fikirkan.


Percaya untuk dipercayai
Sekiranya anda tidak mempercayai lelaki, jangan anda mengharapkan lelaki itu mempercayai anda. Hidup ini meminta pada yang ada, memujuk pada yang sayang. Untuk membuat orang lain percaya kepada anda bukanlah perkara yang mudah. Bagi menyebabkan orang lain tidak percaya pada anda, bukanlah payah. Apabila lelaki sudah tidak percayakan anda, amat sukar pula untuk dia mengubah pendiriannya.


Menangkan lelaki untuk menang
Mengenal lelaki bukanlah untuk mengalahkan lelaki. Dalam sebuah perkahwinan, sepatutnya sama-sama menang dalam semua aspek kehidupan. Dalam satu perkahwinan ada dua kuasa, pertama kuasa suami dan kedua kuasa isteri. Kuasa suami adalah memulakan dan menyuarakan. Kuasa isteri pula adalah sama ada bersetuju atau tidak. Sekiranya kedua-duanya menyalahgunakan kuasa, perkahwinan itu akan menjadi porak-peranda.


Sifat negatif akan membuah kesan negatif
Ramai wanita yang mencabar dan celupar terhadap lelaki atau suami sendiri. Ramai juga yang bersifat pendesak, terlalu banyak meminta, merendah- rendahkan suami, membandingkan suaminya dengan lelaki lain dan memaki hamun suaminya. Sekiranya anda bersifat demikian, walaubagaimana kenalpun anda kepada suami anda, anda bukanlah seorang wanita yang bijak. Andalah yang mungkin menjadi penyebab mengapa suami anda merasa tertekan, tidak selesa, banyak berdiam diri, bermasam muka dan sebagainya lagi yang tidak menyenangkan anda. Andalah yang sepatutnya berubah.


Bertanggung jawab dan menikmati kesan tanggung jawab
Sebenarnya tanggungjawab wanita terhadap suaminya tidak akan berubah walaupun dunia ini makin maju. Begitu juga dengan tanggungjawab suami kepada isteri. Selagi anda menjalankan tanggungjawab anda dengan sempurna sebagaimana yang digariskan oleh agama, anda tidak perlu risau apa pun..


Kritikan akan membuahkan kritikan
Kritikan merbahaya kerana ia menjadikan lelaki defensif dan sedaya upaya ingin mempertahankan dirinya. Ia juga bahaya kerana melukakan nilai diri lelaki. Menjejaskan rasa kepentingan diri. Dan menyebabkan lelaki merasa kecewa kepada anda dan mungkin akan mengkritik anda pula.


Beri kepada lelaki apa yang dia mahu
Dia akan melakukan apa saja untuk anda dan memberi apa yang anda mahu. Ada dua perkara besar yang dimahukan oleh lelaki.

- kehendak seks (awas kepada yang belum diakad nikah..jangan senang-senang memberi dan menyerah diri..)
- kehendak untuk menjadi penting.


Setiap orang dewasa mahukan kesihatan, makan, tidur, wang, kepuasan seks, anak-anak yang terjaga, rasa dipentingkan dan hidup yang bahagia dunia dan akhirat. Berilah lelaki apa yang dia mahu dan apa yang boleh anda berikan.


Tunjuk minat tulen terhadap lelaki
Dia akan menujukkan minat terhadap anda. Dengar apa yang ingin dikatakannya, walaupun ianya tentang dirinya sendiri, juga mengenai kerjanya ataupun kesukaannya. Lebih berminat anda padanya, maka lebih berminatlah dia pada anda.


Senyum itu tanda kasih yang tak perlu dibayar
Anda tidak perlu membayar apa-apa untuk senyum pada lelaki yang anda kasihi. Dia akan senyum kembali pada anda. Betapa nikmatnya senyuman yang dilemparkan pada anda itu, begitulah juga nikmat yang dirasanya apabila anda senyum padanya. Senyuman menyebabkan lelaki suka pada anda.


Panggillah lelaki dengan panggilan manja
Sebagaimana anda mahukan lelaki memanggil anda dengan nama yang baik dan nada lembut, begitu pula lelaki. Dia mahukan anda memanggilnya dengan lembut, merdu dan manja, sesuai dengan sifat anda sebagai wanita.


Hormati dia sebagai lelaki
Dia akan menghormati anda sebagai wanita. Jika anda berusaha untuk memahami sikapnya, dan bertolak ansur dengannya, dia juga akan melakukan perkara yang sama terhadap anda. Wanita patut menghormati lelaki yang menjadi suaminya, dan memberi penghormatan tidak akan merendahkan kehormatan diri sendiri, malah menjadi diri lebih terhormat. Fikirkan.


Tirana: Artikel di atas bukan ditulis oleh saya. Saya menerimanya melalui email yang dihantar oleh seorang teman. Terimakasih kepada penulis dan kepada teman yang menghantar artikel di atas kepada saya. Tips di atas ditulis mengikut perspektif seorang wanita. Saya ingin mendapat komen dan pandangan dari kaum adam pula...

No comments :

Post a Comment

terimakasih kerana sudi komen mengomen. komen mengomen boleh mengeratkan hubungan silaturahim di alam maya ini..